Monday, September 15, 2008

Jelaskan pola taburan penduduk di Semenanjung Malaysia pada tahun 2000.

Pada tahun 2000, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan 22.2 juta orang. Purata kepadatan penduduk ialah kira-kira 67 orang per km persegi. Namun begitu, taburan penduduknya adalah tidak seimbang. Pola taburan penduduk di Malaysia boleh dibahagikan kepada penduduk padat, penduduk sederhana padat dan penduduk jarang.

Kawasan berpenduduk padat (melebihi 200 orang per km persegi) terdapat di kawasan yang rata, subur serta sesuai untuk dijadikan kawasan pertanian, perhubungan, perkilangan, perkhidmatan dan perindustrian. Kebanyakan kawasan berpenduduk padat terletak di jaluranPantai Barat Semenanjung Malaysia yang bermula dari utara hingga selatan Semenanjung Malaysia. Antara kawasan berpenduduk padat seperti di Dataran Kedah-Perlis, Lembah Kinta di Perak, Lembah Klang di Selangor, sekitar bandar Seremban di Neger Sembilan dan di sekitar bandar Johor Bahru di Johor. Di Pantai Timur Semenanjung Malaysia pula kawasan berpenduduk padat terletak di Dataran Kelantan di kelantan, Kuala Terengganu di Terengganu dan bandar Kuantan di Pahang. Selain itu, bandar-bandar utama di setiap negeri juga berpenduduk padat kerana fungsinya sebagai ibu negeri, pusat perniagaan dan perdagangan, pusat kewangan dan pusat industri seperti Seremban, Ipoh, George Town, Kangar dan Kota Bharu.

Kawasan berpenduduk sederhana padat (antara 50 hingga 200 orang per km persegi) tertumpu di kawasan penanaman padi, getah dan kelapa sawit, pesisir pantai, bandar kecil dan sederhana serta kawasan rancangan tanah kerajaan. Di Pantai Barat Semenanjung Malaysia pula kawasan berpenduduk sederhana pada terletak di sekitar Kulim dan Jitra di Kedah, Teluk Intan di Perak, Port Dickson di Negeri Sembilan serta Batu Pahat dn Muar di Johor. Di Pantai Timur Semenanjung Malaysia kawasan berpenduduk sederhana padat terletak di antara Dungun dengan kawasan luar Kuantan, Daerah Bachok di Kelantan, sekitar bandar Jerantut di Pahang dan sekitar bandar Mersing di Johor. Selain itu, kawasan berpenduduk sederhana terletak di kawasan rancangan kemajuan tanah seperti di Jengka, Pahang Tenggara (DARA), Johor Tenggara (KEJORA), Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Kawasan berpenduduk jarang (kurang 50 orang per km persegi) biasanya terletak di kawasan pedalaman yang bergunung-ganang, berhutan tebal seperti di Banjaran Titiwangsa, Banjaran Bintang, Banjaran Tahan serta kawasan berpaya di bahagian timur Johor. Kawasan ini mempunyai penduduk jarang kerana kurangnya kemudahan pengangkutan. Penduduk di kawasan ini tinggal berelerak dan menjalankan kegiatan pertanian pindah.
(sumber: Ubahsuai daripada Kemahiran Geografi, Arah Pendidikan)

No comments: